Tuesday, August 21, 2007

BENDERA MALAYSIA


Bendera Persekutuan Tanah Melayu mula digunakan dengan rasminya pada 26 Mei 1950. Bendera ini telah diilhamkan melalui satu pertandingan khas mencipta Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Pertandingan untuk mencipta bendera ini telah diiklankan melalui suratkhabar tempatan antaranya The Malay Mail bertarikh 10 Ogos 1949. Sebanyak 373 ciptaan telah diterima oleh pihak penganjur pertandingan. Bagi mengelolakan pertandingan dan memilih rekabentuk bendera Persekutuan Tanah Melayu ini, satu Jawatankuasa Khas telah ditubuhkan pada bulan Mei 1948. Jawatankuasa ini
dianggotai oleh :

Pengerusi

Sir Alec Newboult (Chief Secretary)

Wakil Sultan

Dato' Abdul Malek bin Yusuf - Menteri Besar Negeri Sembilan

Dato' Mahmud bin Mat - Menteri Besar Pahang

Wakil Menteri-Menteri Besar

Dato' Onn bin Jaafar - Menteri Besar Johor

Wakil Majlis Perundangan Persekutuan

YM. Tunku Yacob Ibni Sultan Abdul Hamid

Encik Zainal Abidin bin Abbas

Wakil Negeri Selat

Mr. A.V. Aston (Resident Commissioner Penang)

Mr. H.H. Facer

Wakil Ahli Tidak Rasmi Majlis Perundangan Persekutuan

Mr. Young Shook Lin

Laporan Jawatankuasa ini telah dikemukakan kepada Majlis Perundangan Persekutuan pada 15 November 1949. Dari jumlah 373 corak bendera yang dipertandip.gkan, hanya tiga bendera telah dipilih. Tiga bendera tersebut bersama 6 corak lagi yang te1ah disediakan berasingan telah dipersembahkan kepada Raja-Raja Melayu untuk pemilihan.


Pada 19 April 1950, atas nasihat Majlis Perundangan Persekutuan (Federal Legislative Council) dan atas persetujuan Raja-Raja Persekutuan Tanah Melayu, bendera Malaysia yang ada sekarang ini telah dipilih sebagai bendera rasmi Persekutuan Tanah Melayu. Pada asalnya, bulan sabit dan bintang adalah berwarna putih, tetapi atas bantahan Sultan Kedah dan persetujuan Raja-Raja yang lain, warna putih itu telah ditukarkan kepada warna kuning bagi melambangkan warna DiRaja.


Pada 26 Mei 1950, buat pertama kalinya bendera itu telah dikibarkan di Istana Sultan Selangor di Kuala Lumpur. Majlis pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu ini telah dihadiri oleh pembesar-pembesar negeri iaitu Sultan Selangor Serta wakil-wakil Sultan iaitu Haji Abdul Wahab bin Abdul Aziz (Menteri Besar Perak), Dato' Mahmud bin Mat (Menteri Besar Pahang), Dato' Onn bin Jaafar (Menteri.Besar Tohor), Encik Kamaruddin (Menteri Besar Terengganu), Nik Ahmad Kamil bin Haji Mahmud (Menteri Besar Kelantan), Raja Haji Ahmad bin Raja Endut (Menteri Besar Perlis), Tunku Ismail bin Tunku Yahya (Menteri Besar Kedah) dan Dato' Abdul Malek bin Yusuf (Menteri Besar Negeri Sembilan). Pada 9.38 pagi, Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dinaikkan oleh Sir Henry Gurney (Pesuruhjaya Tinggi British di Malaya) bagi pihak pembesar-pembesar negeri. Bermula dari saat yang bersejarah itulah,Persekutuan Tanah Melayu mempunyai benderanya sendiri yang menjadi lambang kemegahan serta simbol sebuah negara yang mempunyai rakyat yang bersatupadu. Bendera ini berukuran 6 kaki lebar dan 3 kaki panjang dengan enam jalur berwarna merah dan lima jalur berwarna putih. Sebelas jalur ini melambangkan perpaduan sebelas buah negeri Persekutuan iaitu Johor, Pahang, Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pulau Pinang.


Warna merah, putih dan biru melambangkan negara ini sebuah negara Commonwealth. Bulan dan bintang melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan Tanah Melayu sementara warna kuning di bulan dan bintang melambangkan warna DiRaja yang menandakan kedaulatan sultan-sultan Negeri Tanah Melayu yang juga sebagai Ketua Agama Islam. Perpaduan dan kerjasama negeri-negeri ini juga disimbolkan oleh bintang pecah sebelas.

No comments: